DSC_4911
Bermula saat penubuhannya pada 5 Julai 2010, Pusat Pembangunan Sosioekonomi (CSD) secara konsisten terus berusaha ke arah merapatkan jurang ketidakseimbangan sosioekonomi dalam kalangan masyarakat di pantai timur. CSD telah menjalin pelbagai rangkaian kerjasama dengan institut-institut kecemerlangan di UMT, untuk bertindak sebagai pusat sumber profesional, penyelidikan, perundingan serta latihan dalam persekitaran wilayah pantai timur. CSD dan pihak kerajaan serta NGO’s turut terlibat dalam merangka pelbagai strategi dan pelan tindakan yang berkesan bagi tujuan pembangunan komuniti, antaranya pengisian ilmu kepada golongan pelajar sekolah, komuniti pesisir pantai dan juga kumpulan yang terlibat dalam industri pelancongan pulau dan pantai. Satu kerjasama telah dibentuk dengan Kementerian Pertanian dan Industri (MOA) dan agensi di bawah kementerian tersebut, seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Malaysia dengan UMT melalui penganjuran persidangan bertaraf kebangsaaan iaitu Persidangan Kebangsaan Pembangunan Komuniti Nelayan (PEKON 2012). Persidangan ini telah berjaya mengumpulkan pelbagai maklumat dan usaha membangunkan golongan yang terlibat dalam industri perikanan.
Sebelum ini, CSD mempunyai dua program utama iaitu program penyelidikan komuniti pinggir tasik yang diketuai oleh Dr. Roslina Ismail dan program penyelidikan komuniti pesisiran yang diketuai oleh Dr. Sh Marzety Adibah Al Sayed Mohamad. Kekuatan CSD ditunjangi dengan keupayaan para akademik dan penyelidik yang berpengetahuan tinggi dan pakar dalam bidang sosial dan ekonomi. Dengan keupayaan tersebut, fokus ini diselaraskan dengan isu – isu tempatan dengan memberikan penumpuan terhadap keutamaan dalam dasar dan agenda transformasi pembangunan negara.
Bermula 1 Disember 2016, Pusat Pembangunan Sosioekonomi ditukar kepada Bahagian Pembangunan Sosioekonomi yang diketuai oleh Dr. Nor Hayati binti Sa’at (Timbalan Pengarah IPK). Dr. Khatijah binti Omar dilantik sebagai Pengerusi Program Penyelidikan Komuniti Pinggiran Tasik dan Gunung manakala Dr. Hazman bin Samsudin dilantik sebagai Pengerusi Program Penyelidikan Komuniti Pesisir Pantai dan Pulau.